Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tahun 2017 mencatatkan peningkatan kepada 95.97 peratus bagi lepasan peringkat diploma dan 73.22 peratus bagi pemegang ijazah sarjana muda.
Hasil bancian oleh Pusat Keusahawanan dan Kerjaya UMT melibatkan 2,640 responden yang bergraduasi sempena Majlis Konvokesyen UMT kali ke-15 tahun lalu memperlihatkan perkembangan yang terus memberangsangkan berbanding 93.34 (diploma) dan 67.01 (ijazah) pada tahun sebelumnya.
UMT dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, daripada 2,640 graduan, 1,933 graduan dicatatkan telah berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.
"Peningkatan ini seiring dengan usaha berterusan UMT termasuk dengan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak industri dan juga pakar dari serata dunia dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar sejajar dengan hasrat dan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi,"ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sebagai universiti dengan bidang tujahan Ilmu Kelautan dan Sumber Akauatik, UMT telah merangka dan melaksanakan pelbagai program yang menjadi nilai tambah para pelajar dalam bidang pengajian masing-masing.
"Antaranya, program 2u2i (2 tahun di Universiti, 2 tahun di Industri) UMT bersama-sama firma Salihin Chartered Accountant yang telah menubuhkan Teaching Accounting Firm (TAF) yang pertama di dunia.
"Program ini meningkatkan pengalaman dan pembelajaran graduan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman kerja (Work-based Learning) dan pada masa yang sama, graduan memperoleh pengalaman dan belajar amalan sebenar persekitaran kerja dalam industri sebenar," jelas kenyataan itu.
Graduan bukan sahaja memperoleh segulung ijazah sarjana muda, malahan mereka akan memperoleh sijil pentauliahan professional daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) hasil kerjasama UMT dan ACCA.
Bagi bidang Maritim pula, UMT melaksanakan pelbagai program kerjasama yang turut membolehkan institusi pengajian tinggi itu mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Industri bagi Kluster Maritim (ICoE).
"Pengiktirafan ICoE dari Kementerian Pendidikan Tinggi membolehkan UMT memperkukuhkan jaringan dan perkongsian pintar dalam pelbagai aspek bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan," ujar kenyataan itu lagi.
Di samping itu UMT telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Technology Depository Agency (TDA), Destini Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dan ini membolehkan graduan yang menjalani program latihan industri memperoleh pensijilan profesional yang diiktiraf oleh industri.
sumber : utusan.com