Selasa, 27 Februari 2018

Jualan Sentuhan Rakyat tidak bermotif politik



AFIQ MOHD. SHAH 
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Program Jualan Sentuhan Rakyat yang giat dilaksanakan kerajaan di seluruh negara bukan merupakan program bermotifkan politik, namun hanya semata-mata untuk meringankan beban sara hidup rakyat. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memikirkan cara terbaik untuk membantu rakyat sejak tahun lalu apabila menerima aduan mengatakan harga barangan semakin melambung tinggi. 

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan harga yang ditawarkan dalam program itu berpatutan kerana tidak melibatkan orang tengah. 

“Apabila saya umum untuk mengadakan program ini pada Disember tahun lalu, sebenarnya kita membuat persediaan awal, cuma mengambil sedikit masa kerana perlu memastikan stok barangan yang akan dijual itu mencukupi. 

“Program ini tidak ada kena mengena dengan politik ataupun mahu meraih undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang kerana tujuan kita hanyalah untuk meringankan beban rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan Pengedar Premium, Pelancaran Model Baharu dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki) di Hotel One World, dekat sini hari ini.

sumber : utusan.com