Minggu, 25 Februari 2018

Invoke cari 20,000 sukarelawan PRU bantu HARAPAN


Dalam tempoh enam bulan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 perlu diadakan, badan penyelidikan Invoke Malaysia berkata mereka memerlukan 20,000 agen mengundi dan agen pengiraan undi (PACA) bagi memantau kemungkinan penipuan pada PRU itu nanti.
Pengasasnya Rafizi Ramli berkata mereka berhadapan cabaran bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai sukarelawan dan melatih mereka yang telah mendaftar.
Katanya, sejumlah 23,000 sukarelawan yang berdaftar dengan Invoke tetapi hanya 3,000 yang dilatih secara rasmi untuk menjadi PACA.
"Objektif hari ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai berdaftar, dan jika hanya anda sahaja daripada keluarga yang berdaftar, ajak lebih ramai," katanya ketika program pendaftaran sukarelawan di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, PACA akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan HARAPAN apatah lagi dengan jangkaan bertambahnya pengudi pos dari kalangan penjawat awam.
Beliau berkata majoriti sukarelawan, iaitu 8,000 orang, adalah dari Kuala Lumpur dan Selangor dan akan dihantar ke kerusi pedalaman untuk menjadi PACA ketika hari mengundi.
"Kami mahu menghantar jumlah sukarelawan yang cukup ke kerusi marjinal agar mereka dapat menampung kekurangan jentera parti Pakatan Harapan (HARAPAN)," kata naib presiden PKR itu lagi.
Rafizi berkata Invoke akan membekalkan sukarelawan dan PACA untuk calon-calon HARAPAN di 50 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semenanjung.
Selain DAP, beliau berkata tiga lagi parti komponen HARAPAN - PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - masih tidak dapat melatih jumlah sukarelawan yang cukup bagi calon mereka.
"Berdasarkan penilaian saya, parti ini paling banyak hanya dapat menyediakan 100 sukarelawan bagi setiap kerusi.
"Mereka perlu membuat semua kerja dan berdasarkan pengalaman lalu, mereka akan keletihan apabila tibanya hari mengundi," katanya sambil menambah ia membuka peluang kepada penipuan dilakukan.
Menjawab soalan hadirin, anggota parlimen Pandan itu menjelaskan setiap parti memerlukan sekurang-kurangnya 450 PACA terlatih bagi setiap kerusi parlimen kerana mereka akan bergilir-gilir memerhati setiap peti undi sejak bermulanya membuang undi hinggalah kepada proses pengiraan.
"Berdasarkan penilaian saya angka itu hampir mustahil (untuk dicapai)," katanya.

Sumber : 
malaysiakini.com